TUGASAN 2 SEKIRANYA NEGARA TIDAK PERNAH DIDATANGI PENJAJAH, APAKAH KESAN KEPADA MASYARAKAT, EKONOMI, POLITIK, DAN KEMAJUAN?


PENGAJIAN MALAYSIA ( MPU 2163 )
PENSYARAH : Wan Ahmad Fuad bin Wan Ahmad Kamil
TUGASAN ASSIGNMENT 2
(DIN 65) Tahun 2 Semester 3
PELAJAR : Dewi Fazira Astari Binti Jasmadi (3041183014 )


PENDAHULUAN
Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Teriakan suara hangat penuh semangat, suara keramat yang keluar daripada jiwa yang merdeka. Pada zaman dahulu, nenek moyang kita melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar kerana berasa sangat-sangat terharu, gembira dan bersyukur, alhamdulillah. 63 tahun negara kita Malaysia merdeka daripada penjajahan. Malaysia kini gah pada mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara lain.

Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Kita sering kali melihat anak bangsa yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme mereka seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya.
Pada waktu tanah Melayu ini wujud zaman berzaman, para penghuninya tidak tahu bagaimana rupa tanah air ini 60 tahun akan datang. Kedatangan Islam juga tidak mereka sangka. Tanah Melayu termasuk dalam peta sejarah kesultanan Islam di alam Nusantara sehinggalah datang penjajah. Landskap sosioekonomi dan politik negara berubah. Tanah air ini dijajah pada 1511. Bila merdeka pada 1957, peluang untuk kembali mengukuhkan kedudukan Islam dan bangsa di negara ini digerakkan sedikit demi sedikit. Banyak yang dilakukan namun banyak juga yang gagal mencapai hasil. Dengan kemajuan teknologi dan budaya hidup moden, kita melihat wajah Malaysia berubah. Namu, pernahkah kita berfikir apa yang akan terjadi pada negara kita jika penjajah tidak pernah datang ke Malaysia? 

1. KESAN KEPADA MASYARAKAT

a) Tidak akan wujud corak masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik selain kaum melayu seperti kaum cina dan india. Masyarakat melayu akan lebih mendominasi dalam populasi penduduk di malaysia seperti negara Thailand yang tidak pernah dijajah, manakala Sabah dan Sarawak hanya akan diduduki oleh orang asli dan pribumi. Hal ini kerana, penjajahan British telah membawa masuk ramai pekerja cina yang diletakkan bekerja disektor perlombongan, perniagaan, dan perdagangan dan buruh dari india yang diletakkan di sektor perladangan getah. Buktinya pada 1835, hanya 8% populasi masyarakat cina di tanah melayu. Namun pada 1947, penduduk cina telah meningkat kepada 38.4%. Sekarang, meskipun kadar kelahiran berkurang dan terdapat penghijrahan oleh sebahagian orang cina, kaum ini telah mencapai 23% daripada populasi rakyat malaysia.
4
b) Tanpa penjajahan, mungkin Bahasa melayu masih lagi digunakan oleh masyarakat sebagai lingua franca dan sastera yang digunakan adalah tulisan jawi. Bahasa melayu tidak akan dipengaruhi bahasa inggeris. Tulisan jawi pasti digunakan dalam silibus pendidikan dan komunikasi seperti negara Thailand yang menggunakan tulisan sendiri tanpa perlu mengikut huruf atau alphabet english. Barangkali tidak wujud kata pinjaman seperti “almari”, “cawan”, “garpu”, “kelas” and “bihun” yang dipinjam daripada bahasa cina. Agaknya wujudkah “char kuey teow”, ataupun “mi goreng mamak di negara ini? Meskipun bahasa melayu merupakan bahasa rasmi setelah merdeka, tetapi andai tidak dijajah, masyarakat melayu semestinya akan lebih bangga dan lebih memartabatkan bahasa melayu.
c) Mungkin infrastuktur dan corak pembangunan di negara ini akan berbeza. Pada zaman ini, kebanyakan rumah dan bangunan adalah dipengaruhi oleh corak pembangunan Barat. Oleh itu, andai tidak dijajah, perumahan di negara ini mungkin akan tetap modern namun lebih berlatarbelakangkan ciri-ciri khas masyarakat Melayu.

2. KESAN KEPADA EKONOMI

Dari segi ekonomi, penjajah British telah menghabiskan wang yang banyak dalam membina infrastruktur di tanah melayu, jadi adakah negara ini akan tetap makmur tanpa penjajahan mereka? Mungkin boleh. Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu, yang terdiri daripada Langkasuka hingga Melaka, merupakan empayar maritim. Tanah Melayu juga dikenali sebagai Suvarnabhumi(Bumi Emas ). Sistem ekonomi sara diri, iaitu kegiatan perdagangan menggunakan sistem barter merupakan kegiatan terpenting masyarakat malaysia sebelum penjajahan.
Malaysia kini merupakan antara negara merdeka yang memperoleh status negara kelas pertama dalam masa 60 tahun kemerdekaan, yang merupakan sebuah kejayaan yang memberangsangkan. Dapat dibayangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampu dicapai sekiranya tidak dijajah pada masa itu.

a) Tidak akan wujud jurang perbezaan ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar jika memiliki pemerintah yang mampu berpandangan jauh dan hasil ekonomi negara pasti akan dinikmati oleh semua penduduk asal. Buktinya, pembentukan WAWASAN 2020 merupakan satu pandangan jauh yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Dr. Mahathir bin Mohamad. Wawasan 2020 termaktub dalam cabaran pertama bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu-padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama.

b) Rakyat dapat bergiat dengan lebih aktif dalam bidang ekonomi tanpa ada pihak luar yang mengambil kesempatan atas kekayaan negara. Sebelum campurtangan Inggeris, masyarakat Melayu mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan apabila berlakunya perluasan kuasa Inggeris, sistem ekonomi komersil pula diperkenalkan. Selama 1000 tahun lamanya, masyarakat melayu telah menunjukkan keterbukaan mereka terhadap perdagangan dan pengaruh asing. Pemerintah tanah melayu mungkin akan dapat mengembangkan ekonomi tanah melayu hasil daripada pelaburan daripada negara Eropah, China, India, dan lain-lain. Walaubagaimanapun, memandangkan sebahagian besar tanah melayu sebelum penjajahan adalah feudal, yang mana dikuasai oleh golongan bangsawan, faedah ekonomi tanah melayu mungkin tidak akan dibahagikan secara sama rata, menyebabkan perpecahan masyarakat yang akan mengugut kuasa pemerintah. Oleh itu, Rakyat hendaklah bersama-sama kerajaan memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan semula tanpa bergantung harap kepada mana-mana agensi kewangan antarabangsa. 
c) Tanah melayu sebelum penjajahan memiliki populasi masyarakat yang sedikit dan kekayaan sumber semulajadi yang banyak, negara ini pasti masih akan cukup kaya berbanding negara jirannya seperti Indonesia dan Thailand yang memiliki populasi masyarakat yang lebih tinggi. Tanpa penjajahan, tidak akan wujud Singapura, maka landskap ekonomi wilayah ini pastinya akan sangat berbeza. Selepas kemerdekaan, Gross Domestic Product (GDP) telah mencatatkan Malaysia bernilai 370 bilion USD pada tahun 2019.

3. KESAN KEPADA POLITIK

a) Tidak akan wujud gerakan nasionalisme dan sultan masih berkuasa sepenuhnya, seperti Raja Mongkut di Thailand yang tidak pernah dijajah. Namun, penjajahan British telah mengubah haluan sejarah dan kita perlu beradaptasi dgn realiti yg baharu. Setelah kedatangan Inggeris, kuasa-kuasa raja dan sultan telah terjejas. Raja hanya menyentuh hal-hal istiadat sahaja. Tanpa penjajahan, mungkin negara akan masih mengamalkan sistem pemerintahan feudal,yang membolehkan sistem pemerintahan beraja terus wujud dan hieraki,yang mana pemerintahan terletak dalam kuasa golongan diraja. Ini kerana, Raja dan Sultan merupakan lambang perpaduan dan simbol penyatuan negeri dan rakyat serta jajahan takluknya. Tidak akan ada parti-parti politik perkauman yang banyak seperti semasa dan selepas penjajahan.
b) Tiadalah kerajaan persekutuan Malaysia, apatahlagi tiada sebab mengapa Sabah dan Sarawak perlu bergabung dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai tanah melayu. Negeri-negeri di Malaysia Akan menjadi negeri berdaulat sendiri-sendiri yang bermakna perlu ada passport sekiranya rakyat ingin bergerak ke mana-mana negeri dari Kelantan ke Trengganu. Mungkin akan wujud lebih dari 20 kerajaan yang berbeza yang akan membawa kepada peperangan dan pergolakan seperti di eropah. Mungkin juga negara-negara melayu akan mengikut tren regionalisme sedunia dan bergabung menjadi sebuah kesatuan eropah yang akan dipanggil sebagai Konfederasi melayu atau srivijaya baharu.

c) Agama Islam pastinya akan menjadi agama yang paling berpengaruh di negara ini. Adat istiadat melayu mungkin lebih diutamakan. Namun, penjajahan British yang mengenalkan dasar “pecah dan perintah” sebenarnya telah menguatkan lagi identiti etnik dan keagamaan dalam masyarakat melayu. Tanpa kehadiran kaum besar lain seperti kaum cina dan india, masyarakat melayu mungkin akan berasa terlampau selesa, leka, dan tidak akan risau akan agama mereka. Barangkali, negara ini akan menjadi negara yang mengamalkan perlembagaan sekuler, seperti di Turki dan Indonesia.
d) Rakyat di negara ini juga akan lebih patriotik dan setia kepada Raja-raja melayu berbanding hari ini. Hal ini juga bermakna urusan memajukan mana-mana wilayah negara akan lebih berjalan dengan lebih mudah dan cepat kerana dengan sistem sultan berkuasa penuh ini, dimana rakyat tidak mampu melawan perintah kerajaan seperti negara Brunei.

4. KESAN KEPADA KEMAJUAN


a) Dalam kemajuan teknologi dan sains, Malaysia tidak akan ketinggalan, malah mampu jga bersaing di peringkat antarabangsa berbanding sekarang. Sebelum kedatangan penjajah, tanah melayu sudahpun terkenal dalam teknologi pembuatan kapal, pembuatan kraf, dan senjata seperti keris. Orang Melayu mempunyai seni pelayaran yang dipanggil “PSYCHO-NAVIGATION” yang bermaksud orang Melayu boleh bersampan dari satu pulau ke pulau lain tanpa alat bantuan pelayaran. Melayu adalah pelayar, pelaut, pengembara, lanun, pedagang dan tukang kapal yang dikenali umum oleh masyarakat dunia purba. Malah, orang Melayu juga menggubal undang-undang laut yang dinamakan sebagai “Seafarers Codex” pada abad ke-15. Dalam erti kata lain, Tanah melayu telahpun memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi terlebih dahulu yang boleh dimajukan. Namun, semua ini hanya mampu dicapai jika Tanah Melayu tidak akan memiliki masalah lain seperti perang saudara antara negeri mahupun Raja yang tamak menyebabkan perhambatan dalam kemajuan negara.
b) Namun, mungkin penduduk negara ini akan mengambil masa yang lama untuk menyedari kepentingan memajukan sistem pendidikan seperti perlaksanaan sekolah dari peringkat rendah hingga peringkat yang lebih tinggi. Pendidikan Barat diperkenalkan oleh kuasa Imperialisme ke atas negara yang dijajah. Pendidikan diberi kepada penduduk bandar sahaja supaya jawatan rendah contohnya kerani, juru kira, juru ukur dan juru teknik dalam sistem birokrasi moden dapat diisi. Rakyat yang mendapat pendidikan di sekolah vernikular pula sukar mendapat pekerjaan. Kepincangan dalam sistem pendidikan ini telah memaksa kerajaan peribumi memperbaikinya selepas mencapai kemerdekaan. Pada 1951, terbentuklah jawatankuasa L.J.Barnes untuk membaiki sistem pendidikan di Tanah Melayu. Setelah merdeka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk mendokong semangat kebangsaan seperti mewujudkan persekolahan percuma dari sekolah rendah hingga menengah. Peratus literasi di Malaysia pada 1957 anyalah 51% manakala pada 2018 telah meningkat kepada 94.9%.


PENUTUP

Mengikut sejarah, dapat dipastikan bahawa sesebuah negara itu mampu berkembang menjadi lebih maju dari semua aspek terutamanya ekonomi selagi negara itu mempunyai ketua yang jujur, bijak, berdaya saing, dan rakyat yang sentiasa menyokong dan bersatu padu dalam membantu menghadapi apa jua cabaran negara. Sistem yang dijalankan oleh negara adalah penting tetapi kuncinya, hanya akan dapat dijayakan dengan sikap rakyat negara itu sendiri.
Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang akan datang. Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata Tun Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya".
Merdekakah kita sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Saya berharap semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka!” kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka.
:)

Dewi Fazira Astari Binti Jasmadi (3041183014) DIN65 Year 2 Semester 3, Ditulis pada 19 April 2020


RUJUKAN

Ahmad Fiqrie Abdullah(2015). Kesan Penjajahan Inggeris Dan Langkah-Langkah Mengatasinya. Retrived from https://prezi.com/_6dp4mkmvlzp/kesan-penjajahan-inggeris-dan-langkah-langkah-mengatasinya/

Damia Noraini(2012). Keadaan Masyarakat Di Tanah Melayu Sebelum Dan Selepas Penjajahan. Retrieved from https://www.slideshare.net/nordamia81/keadaan-masyarakat-di-tanah-melayu-sebelum-dan-selepas-penjajahan 


Al Semantani(2013). Teknologi Maritim Melayu Dikagumi Dunia. Retrieved from https://lokalgenius.blogspot.com/2013/12/teknologi-maritim-melayu-dikagumi-dunia.html

Shamim AliFaizal HamssinElina Mohd,(2017). What if Malaysia was never colonized. Retrieved from https://www.quora.com/What-if-Malaysia-was-never-colonised

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri(2014). Semangat Patriotisme Perlu Dijiwai, Bukan Sekadar Simbolik. Retrieved from  https://www.bharian.com.my/node/6611


Trading Economics(2019). Malaysia GDP. Retrieved From Https://Tradingeconomics.Com/Malaysia/Gdp  
Knoema. Malaysia - Adult Literacy Rate. Retrieved From Https://Knoema.Com/Atlas/Malaysia/Topics/Education/Literacy/Adult-Literacy-Rate   

Comments

Post a Comment